KUALA LUMPUR, 9 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menyiasat dana parti politik seperti DAP dan PAN. Gesaan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengerusi G3, Amran Ahmad Nor yang turut menyambut baik seruan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta SPRM menyiasat DAP dan PAN.
“Berdasarkan pengalaman saya bersama DAP bertahun lamanya sebelum PRU14, saya dapati DAP berbelanja secara bermewah-mewah melebihi kemampuan terutama ketika musim pilihanraya.
“Corak perbelanjaan DAP ini terutama dalam publisiti media sosial yang besar dan belian Trak Ubah dalam kempen seluruh negara tidak sepadan dengan keadaan parti itu yang hanya memerintah di Pulau Pinang dan Selangor sahaja sebelum PRU14,” jelas Amran.
Beliau turut meluahkan rasa curiga terhadap pengumpulan dana parti itu yang terdiri daripada penganjuran majlis makan malam mengumpul dana yang tidak terkawal serta pembiayaan dan penyaluran dana membabitkan beberapa organisasi berkait DAP.
“Dari penganjuran majlis makan malam mengumpul dana (FRD) yang tidak terkawal dan dipercayai melibatkan belian meja oleh banyak syarikat sehinggalah penjualan barangan serta kutipan derma, semua urusniaga ini menimbulkan kecurigaan mengenai siapa penyumbang disebaliknya.
“Itu belum termasuk pembiayaan dan penyaluran dana membabitkan beberapa organisasi berkait DAP seperti REFSA dan Genta Media yang banyak digunakan untuk mengadakan program parti,” kata Amran yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi Biro Buruh DAP dan Ahli seumur hidup DAP.
Timbalan Pengerusi G3 turut menyuarakan kebimbangan beliau bahawa DAP perlu ‘membalas jaga’ para penyumbang menerusi pemberian kontrak dan perniagaan.
Selain daripada itu, beliau turut menggesa DAP terlebih dahulu perlu bersikap telus dan berintegriti dengan menjelaskan kepada pihak berkuasa dalam semua aspek perolehan dan perbelanjaannya sebelum menuduh parti seterunya mengenai hal tersebut.