KOTA PALU, 8 Okt -Pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri kira-kira 4.50 petang waktu tempatan semalam.
Pegawai Memerintah 22 Skuadron yang juga juruterbang pesawat itu Lt Kolonel Baharin Mohamad dan pembantu juruterbang Mejar Inamul Hasan Shuhaimi Basha berjaya mendaratkan pesawat dengan muatan sebuah lori tangki minyak seberat 17 tan.
“Pendaratan di Palu hari ini berjalan dengan selamat dan lancar dan akan cuba lagi membawa muatan yang lebih berat esok.
“Pendaratan kami buat secara maksimum stop namun masih lagi selamat,” katanya kepada media Malaysia di sini.
Sebelum ini, pesawat A400M TUDM hanya dibenarkan mendarat di Balikpapan sahaja tapi hari ini pihak berkuasa Indonesia telah memberi kelulusan untuk mendarat di Palu.
Untuk misi kemanusiaan mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Palu dan Donggala bermula 4 Okt lepasu, pesawat A400M telah membuat tiga penghantaran lori tangki minyak ke Balikpapan sebelum diangkut ke Palu dengan pesawat C130H milik Indonesia. – BERNAMA