KOTA KINABALU, 10 Mei – Pihak polis dan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menahan 8 ahli kumpulan Abu Sayyaf warganegara Filipina termasuk 2 yang dikehendaki pihak berkuasa negeri itu, dalam operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, Sabtu lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, mereka ditahan bersama 29 lagi individu yang terdiri dari warganegara Filipina dalam operasi di kawasan paya bakau pada jam 3 pagi.
“Hasil semakan terhadap semua tangkapan dengan pihak keselamatan Filipina, mereka telah mengesahkan bahawa 8 orang lelaki dewasa adalah merupakan ahli kumpulan Abu Sayyaf dan dua daripadanya adalah tersenarai sebagai orang yang paling dikehendaki (the most wanted list) oleh kerajaan Filipina,
“Semakan lanjut juga mendapati, 2 suspek ahli kumpulan Abu Sayyaf itu tersenarai dalam senarai dikehendaki kerajaan Filipina kerana pernah terlibat dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan marin Filipina di BUD Bawis Complex, Panamao Sulu pada tahun 2011, 2018, 2019 dan terbaharu pada November 2020,
“Selain itu, kedua-dua suspek juga turut terlibat dalam beberapa kes penculikan warga asing di Philipina,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazani berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan direman bermula 9 Mei hingga 12 Mei 2021 bagi siasatan lanjut.
Menurut hazani, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuklah aktiviti ancaman kumpulan Abu Sayyaf.
“ESSCOM akan terus memantau dan berkerjasama dengan semua agensi keselamatan di ESSZONE khasnya dan di Sabah amnya untuk berkongsi serta bertukar-tukar maklumat risikan, juga bersiap sedia melaksanakan operasi sebegini pada masa hadapan jika diperlukan bagi mengagalkan sebarang ancaman jenayah yang boleh mengugat kestabilan dan keselamatan Sabah,
“Tangkapan di atas membuktikan keberkesanan kerjasama risikan dan kemampuan melaksanakan operasi keselamatan oleh ESSCOM dengan PDRM dan lain-lain agensi keselamatan dalam menangani sebarang cubaan mengembangkan aktiviti ISIS di ESSZONE dan wilayah lain di Sabah,” jelasnya. –airtimes.my