PUTRAJAYA, 1 NOV – Belanda menghormati pendirian Malaysia berhubung isu Palestin serta bersetuju perlu ada langkah segera untuk menghentikan serangan Israel ke atas Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte ketika mereka mengadakan pertemuan di Seri Perdana hari ini sempena lawatan kerja dua hari Rutte ke Malaysia.
“Dia (Rutte) menjawab mengatakan pertamanya, dia setuju supaya ada langkah-langkah menyegerakan dan langkah berhentikan serangan. Dia minta laluan supaya dia terus menghubungi pemerintah Israel dan juga melalui Qatar supaya dapat ada rundingan hentikan serangan itu,
“Keduanya, dia setuju ada langkah tambahan seperti mana dia dapat teruskan melalui Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi. Jadi, saya sekurang-kurangnya puas hati dia (Rutte) dapat memahami pendirian kita (dalam isu Palestin),” katanya selepas pertemuannya dengan Rutte.
Anwar turut mengambil kesempatan menerangkan kepada Rutte tentang erti keperluan mengadakan persefahaman tanpa timbul sikap prasangka, kebencian terhadap kaum lain, warna kulit mahupun Islamophobia.
“Saya tentunya mengambil kesempatan untuk menekankan isu kezaliman pentadbiran kerajaan Israel ke atas rakyat Palestin khususnya di Gaza kerana mereka (Belanda) berkecuali dalam usul di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),
“Saya turut menekankan agar terdapat usaha untuk menjamin keamanan dan menghentikan keganasan serta merta kerana ia membabitkan nyawa rakyat yang tidak berdosa seperti kanak-kanak, wanita dan orang awam,
“Serangan tersebut satu kerja biadab dan tidak bertamadun. Israel perlu lebih faham kerana menjadi mangsa,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Anwar turut memuji sikap Rutte yang mengambil sikap lunak untuk mendengar dan memberikan pandangan mengenai isu Palestin selain memberi jaminan supaya pandangan Malaysia dibawa untuk perhatian rakan-rakan di Eropah.
“Dia (Rutte) akui bahawa sentimen rakyat Belanda telah berubah, kalau dulunya mendukung serangan Israel dan sikap Eropah ini… sekarang majoriti itu tidak bersetuju tentang serangan berterusan,” katanya lagi.
Pertempuran terkini di Palestin yang membabitkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa di kedua-dua pihak.
Sebelum ini, Anwar dengan lantang berkata, Malaysia akan kekal bebas dan terus mempertahankan kebebasan negara serta memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.-airtimes.my
#semasa #airtimes #Palestin #Belanda #Malaysia