Pengharaman operasi bantuan kemanusiaan daripada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) Isnin lalu, boleh diibaratkan sebagai langkah licik yang disusun rapi bagi memadamkan kewujudan bangsa Palestin secara perlahan-lahan.
Ia kerana, apabila agensi yang ditugaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin ini ditekan sehingga terpaksa menyekat beberapa bentuk bantuan, jelas ada campur tangan serta permainan politik disebaliknya.
Namun malangnya, yang menjadi mangsa adalah rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak dan wanita yang memerlukan sokongan paling asas seperti rawatan kesihatan serta makanan untuk kelangsungan hidup.
Mengulas lanjut, UNRWA ditubuhkan pada tahun 1949 selepas Perang Arab-Israel dengan mandat untuk memberikan bantuan kepada lebih lima juta pelarian Palestin yang tersebar di lima wilayah seperti Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.
Peranan organisasi ini amat penting kerana bertanggungjawab menyediakan asas kelangsungan hidup serta mengurangkan penderitaan jutaan rakyat Palestin yang telah terpinggir dan bergantung hampir sepenuhnya kepada bantuan luar.
Oleh yang demikian, pelulusan rang undang-undang (RUU) oleh parlimen Israel yang mengharamkan UNRWA beroperasi di wilayah pendudukan, dilihat sebagai pelan terancang untuk merencatkan usaha Palestin mendapatkan keadilan sekaligus menghapuskan identiti serta hak rakyat Palestin sebagai pelarian yang sah.
Sebelum ini, Israel telah lama secara terbuka menafikan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah asal mereka dan pengharaman operasi UNRWA ini secara langsung menolak pengiktirafan terhadap status pelarian yang diiktiraf undang-undang antarabangsa.
Walaubagaimanapun, tindakan berani Israel bertindak lancang dan membelakangi mandat PBB ini didorong oleh pelindungan daripada kuasa besar Amerika Syarikat (AS) yang menyokong serta ‘menghalalkan’ segala bentuk penyiksaan ini secara belakang takbir.
AS sebagai sekutu besar bukan sahaja memberi sokongan politik, ketenteraan serta ekonomi malah telah berkali-kali menggunakan kuasa vetonya di PBB untuk melindungi Israel daripada tindakan antarabangsa dan kecaman terhadap dasar-dasarnya yang jelas menindas rakyat Palestin.
Malangnya, dalam konflik ini, terdapat juga negara-negara Islam besar yang masih memilih untuk berdiam diri dan enggan membantah atau mengkritik secara terbuka tindakan Israel terhadap Palestin demi menjaga kepentingan ekonomi serta politik bersama Israel.
Negara seperti UAE dan Bahrain, misalnya, telah mengiktiraf Israel dan menjalin hubungan rasmi atas dasar kepentingan bersama sekali gus melemahkan solidariti negara-negara besar Islam terhadap perjuangan Palestin.
Oleh yang demikian, Israel bukan sahaja berasa dilindungi tetapi juga bebas bertindak tanpa bimbang akan dikenakan sekatan atau tindakan tegas oleh masyarakat antarabangsa.
Situasi ini menyebabkan pertubuhan besar dunia, khususnya PBB, hanya mampu mengeluarkan resolusi tanpa tindakan tegas, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab sekadar mampu mengecam, sementara Kesatuan Eropah (EU) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) terpaksa membutakan mata serta memekakan telinga terhadap tindakan melampau rejim Zionis.
Masyarakat antarabangsa perlu sedar bahawa pengharaman ini bukan sahaja satu langkah politik, tetapi juga satu bentuk penindasan yang menafikan rakyat Palestin hak untuk hidup secara adil dan bermaruah. -airtimes.
#Diskusi #UNRWA #Palestin #BantuanKemanusian #AirTimes