KOTA BHARU, 19 Feb – Pakatan Harapan (Harapan) Kelantan terus memberikan isyarat jelas yang mungkin menyebabkan kerajaan Pas di Kelantan tidak akan senang duduk sehingga selesainya PRU 14. Terbaharu Harapan dianugerahkan seorang cerdik pandai iaitu Dr Radzi Jidin yang merupakan pensyarah perakaunan forensik dari Universiti Tasmania, Hobart di Australia dan kini menjadi Ketua Bersatu Bahagian Ketereh.
Kelebihan yang dimiliki pakar perakaunan dan digabungkan pula dengan kehebatan Pengerusi Harapan Kelantan, Husam Musa mungkin banyak lagi skandal politik mahupun masalah-masalah ekonomi rakyat negeri ini dapat dibongkar. Pengerusi Pilihan Raya Harapan negeri, Wan Rahim Wan Abdullah, berkata, sekiranya Radzi mampu untuk membongkar kelemahan pada 1MDB di peringkat nasional maka tidak mustahil perkara seumpamanya mampu dicungkil di Kelantan.
“Dia boleh bongkar di peringkat nasional, harapnya di peringkat negeri begitulah. Boleh bongkar mengenai projek lebuh raya rakyat dan banyak lagi perkara yang disentuh oleh Husam sebelum ini. “Insya ALLAH Radzi telah menyahut cabaran untuk bergandingan dengan Yb Husam untuk menyelongkar skandal politik dan kewangan di negeri Kelantan,” katanya ketika berucap sempena perasmian Bilik Operasi Pilihan Raya Dun Kadok di sini malam tadi.
Sebelum ini ceramah Dr Radzi mengenai skandal penyelewengan wang 1MDB dan hutang berjumlah RM50 bilion dalam loghat Kelantan di Machang telah viral dan menarik perhatian ramai.