KUALA LUMPUR, 8 Mac – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan yang melaporkan beliau telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewaktu berada di padang golf, hari ini.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu bagaimanapun berkata, beliau diminta ke Ibu Pejabat SPRM pada Khamis.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan keberadaannya di dalam beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU yang akan bermula pada Jumaat.
“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu,
“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini,
“Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 11 pagi,” jelasnya ringkas.
Sebelum ini beberapa portal melaporkan SPRM akan menahan seorang ahli politik kanan dan mengheretnya ke mahkamah atas pertuduhan rasuah.
Desas-desus Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.
Bendahari Agung BERSATU, Datuk Salleh Bajuri turut ditahan SPRM pada 2 Februari lalu selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh parti kepada pembekal dan vendor parti.
Akhir bulan lalu, SPRM membekukan beberapa akaun milik parti BERSATU dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19. -airtimes.my