BERLIN, 23 Jul – Bintang bola sepak Jerman Mesut Ozil hari ini memberitahu, dia bakal meninggalkan skuad kebangsaan selepas menerima kritikan hebat berbaur perkauman susulan memiliki darah warisan dari Turki dalam saingan Piala Dunia 2018 Russia.
Ozil, 29, merupakan salah seorang jentera dalam kemenangan Jerman di Piala Dunia 2014 dan dipilih oleh peminat sebagai pemain terbaik dalam skuad tersebut sebanyak lima kali sejak 2011.
Pemain kreatif itu bagaimanapun berdepan kritikan hebat selepas bergambar bersama Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Mei lalu.
Dia dan juga rakan sepasukan berdarah Turki, Ilkay Gundogan yang turut berada dalam gambar tersebut menjadi ejekan penyokong Jerman pada aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia di Rusia.
“Dengan berat hati dan selepas membuat pertimbangan sewajarnya, saya tidak lagi akan bermain untuk Jerman di peringkat antarabangsa kerana saya berasakan tidak dihormati selain kritikan berunsur perkauman yang saya terima,” kata Ozil menerusi laman Twitter miliknya.
Jerman gagal melayakkan diri ke peringkat kalah mati, membuatkan mereka tersingkir paling awal sejak 80 tahun menyertai kejohanan tersebut, dengan Ozil dijadikan kambing hitang susulan gagal membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan.
Pemain Arsenal itu berkata, Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) Reinhard Grindel turut menyalahkan dirinya ekoran prestasi hambar skuad Die Mannschaft.
“Di mata Grindel dan penyokongnya saya adalah pemain Jerman selepas menang, namun saya dilabel pendatang selepas kami kalah,” kata Ozil.