KUALA LUMPUR, 22 Mei – Waktu operasi perniagaan akan dihadkan bermula 8.00 pagi sehingga 8.00 malam sahaja sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini adalah strategi kedua sekatan tambahan untuk mengurangkan pergerakan bagi mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0.
“Sekatan-sekatan ini merupakan penambahan kepada SOP yang telah berkuatkuasa pada 12 Mei 2021 dan SOP lanjut boleh diakses di laman sesawang kementerian yang berkaitan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),
“Semua sekatan tambahan ini akan berkuat kuasa bermula 25 Mei 2021 bagi seluruh Semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan Labuan,
“Pada masa sama, pelaksanaan PKP 3.0 turut dikuatkuasakan di WP Labuan,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.
Selain itu, pengangkutan awam laut dan darat juga akan dihadkan kepada 50 peratus kapasiti penumpang sahaja. Manakala kekerapan bagi sektor ini juga akan dikurangkan.
Katanya, kerajaan juga akan meletakkan tanggungjawab kepada pihak swasta untuk memastikan penularan tidak merebak dengan mewajibkan semakan status MySejahtera ke atas semua pekerja atau pengunjung sebelum memasuki premis.
“Mewajibkan had jumlah pengunjung ke premis seperti pasaraya atau kedai, pemeriksaan premis kerajaan dan swasta secara agresif oleh pihak agensi penguatkuasa,
“Pemeriksaan secara bersepadu bagi meningkatkan keberkesanan dalam penguatkuasaan. Semua agensi penguatkuasa yang mempunyai kuasa kompaun perlu melaksanakan pemantauan pematuhan SOP di tempat-tempat awam atau tempat yang berkaitan dengan tugas mereka,” jelasnya.
Pada masa sama, kerajaan juga akan mempertingkatkan pengoperasian operasi pada hari bercuti dan hujung minggu oleh agensi bukan keselamatan tidak tertumpu pada hari bekerja sahaja.
Jelasnya, SOP lebih lanjut bagi semua sektor ekonomi akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI).
Sementara itu, kerajaan juga akan menggunakan Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bagi mengenal pasti kawasankawasan yang berisiko tinggi seperti pusat membeli belah dan kawasan perkilangan.
“Setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penilaian risiko dan libat urus, kawasan yang didapati masih berisiko tinggi akan ditutup serta merta,” ujarnya.
Waktu operasi perniagaan ini termasuk kedai makan, gerai, kenderaan bersaji, penjaja, kiosk, perjualan makanan secara bawa pulang, pandu lalu, kedai runcit, serbaneka, kedai keperluan harian pasar malam, kedai makanan harian, dobi, dobi layan diri, kedai gunting rambut, salun, pusat cuci kereta, kedai cermin mata.
Selain itu, stesen minyak juga akan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam kecuali di lebuh raya yang beroperasi sehingga 24 jam.
Namun pengecualian diberikan kepada farmasi yang dibenarkan beroperasi dari 8 pagi sehingga 10 malam. – airtimes.my