SANDAKAN, 2 Jun – Cubaan 2 buah bot nelayan dari Filipina untuk memasuki perairan negara tidak berhasil, apabila dipintas dan diusir oleh anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Operasi Gelora, awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Sandakan Deputi Superintenden Polis Rusdin Banin berkata, anggotanya telah menahan dan mengusir 2 buah bot yang dijuragani lelaki dari Filipina itu di perairan laut utara Nunuyan.
“Anggota ronda telah mengesan bot-bot tersebut dalam keadaan yang mencurigakan dari perairan negara jiran yang memasuki perairan negara sebelum ianya berjaya dipintas,
“Hasil pemeriksaan polis, mendapati PATI tersebut mendakwa berasal daripada Filipina,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bot tersebut kemudiannya di usir dengan diiring sehingga keluar dari perairan negara bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik COVID-19 dan diarahkan supaya tidak memasuki perairan Malaysia selaras dengan kehendak Undang-undang Akta Pencegahan serta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
Dalam masa yang sama, Rusdin turut menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa. -airtimes.my