GEORGETOWN, 6 Feb- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang telah menahan sebuah bot nelayan Indonesia di kedudukan 37 batu nautika barat daya Pulau Kendi, pada Sabtu.
Pengarah APMM Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda APMM telah melakukan penahanan ke atas bot nelayan asing itu pada jam pada jam 12.46 tengah hari ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot berpangkalan di Pangkalan Susu itu mendapati ia dikendalikan oleh 5 kru warga Indonesia berumur lingkungan 21 hingga 50 tahun.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,
“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, bot serta kru yang ditahan termasuk hasil laut dibawa di Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM bagi siasatan lanjut.
Dalam masa yang sama, Abd Razak menjelaskan, pihaknya akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.
Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.-airtimes.my