ANKARA, 11 Feb – Kumpulan kedua pasukan perubatan dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan B Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam Op Starlight (Pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Turkiye) telah selamat tiba di Istanbul.
Konsulat Jeneral Malaysia di Turkiye menyatakan perkara tersebut di akaun media sosial rasminya, hari ini.
“Pasukan yang terdiri daripada 34 petugas perubatan dari ATM telah selamat tiba di Istanbul,
“Mereka akan bersama 34 lagi petugas yang dijangka tiba esok akan menyertai pasukan perubatan yang telah berada di lokasi bencana,” katanya.
Menurut pihak konsulat, pasukan petugas ini akan terlibat dalam pembinaan Hospital Medan Malaysia di Adiyaman.
Penghantaran tersebut adalah kesinambungan kepada penghantaran fasa pertama petugas Op Starlight ke Gaziantep.
Kumpulan ketiga petugas yang merupakan kumpulan terakhir dijangka akan berlepas pada malam ini.
Sementara itu, pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah selamat tiba di lapangan terbang Gaziantep. Kedua-dua pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pagi 10 Februari telah membawa 36 orang pegawai dan anggota serta 44 tan peralatan Hospital Medan. – airtimes.my