GEORGETOWN, 9 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan semula Op Khas Pagar Laut di seluruh perairan Malaysia terutamanya di kawasan titik panas (hot spots) sempena musim perayaan Aidilfitri pada tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), selaku pemangku Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, operasi operasi yang akan diadakan dari 9 hingga 30 April ini dilaksanakan bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya dalam musim berkenaan.
“Penjenayah mungkin beranggapan penguatkuasaan undang-undang di musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti dan meraikan perayaan,
“Justeru, mereka mengambil kesempatan melakukan aktiviti penjenayah seperti membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraband serta barang-barang kawalan, pencerobohan serta lain-lain jenayah melalui jalan laut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Op Khas Pagar Laut pada Sabtu.
Saiful menjelaskan, pihaknya akan memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.
Tambahnya, seramai 800 pegawai dan anggota penguatkuasa akan terlibat, dengan kekuatan 45 buah pelbagai aset milik agensi dalam melaksanakan rutin rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara.
“APMM turut bersiap sedia mengerahkan aset-aset berkenaan bagi melaksanakan tugas Carilamat sekiranya berlaku insiden kapal atau bot yang membawa penumpang asing dari negara ini untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran nanti,” ujarnya lagi.
Pada tahun lalu, OP Khas Pagar Laut telah berjaya membuat sebanyak 63 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan seperti kemasukan PATI, penyeludupan dadah, mercun dan pencerobohan Bot Nelayan Asing (BNA). Keseluruhan hasil tangkapan bernilai lebih kurang RM23 juta.
Untuk rekod, Op Khas Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 dan ini merupakan tahun kelapan, melibatkan semua APMM Negeri termasuk Zon Maritim.-airtimes.my