KUALA TERENGGANU, 25 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu telah menenggelamkan 2 buah bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak untuk dijadikan tukun tiruan, pada Khamis.
Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, 2 bot nelayan itu ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah tahun lalu atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara.
“Kesemua bot tersebut disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) dan 16(3) Akta Perikanan 1985 iaitu memasuki perairan perikanan negara tanpa kebenaran Ketua Pegarah Perikanan Malaysia,
“Kesemua bot itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) PEKAN dan KM LANGKAWI melalui Operasi Naga Barat serta Kuda Laut melibatkan penahanan 26 kru termasuk tekong warga Vietnam,” kata APMM menerusi satu hantaran di media sosial rasminya, hari ini.
Jelasnya, mahkamah telah mengenakan denda sebanyak RM2.5 juta ke atas 2 bot tersebut, namun tiada sebarang pembayaran penalti dilunaskan oleh pemilik.
“Berikutan itu, mahkamah melucutkan hak 2 bot tersebut untuk dilupuskan serta hukuman penjara 7 bulan ke atas 26 nelayan Vietnam terlibat,” jelasnya.
Tambah beliau, kaedah penenggelaman sebagai tukun adalah satu inisiatif dalam memulihara, menggalakkan biodiversiti marin dan meningkatkan sektor pelancongan terutamanya aktiviti rekreasi selam.
“Ia juga adalah simbolik kepada keseriusan APMM mengekang serta membanteras kemasukan nelayan asing ke perairan negara terutamanya dari Vietnam,
“Program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT),” tambahnya.
Ujarnya lagi, ini merupakan pelupusan siri ketiga bagi tahun 2022 oleh APMM Terengganu.
“Sebanyak 30 buah bot masih berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Terengganu, PTV Zon Maritim Kemaman dan PTV Bukit Datu,
“Sehingga kini, APMM Terengganu telah melupuskan serta menenggelamkan sebanyak 139 bot nelayan asing dengan anggaran nilai RM205.5 juta untuk dijadikan tukun tiruan,” ujarnya.
Tegas Muhammad Suffi, pihaknya akan terus melaksanakan rondaan bagi memerangi isu pencerobohan nelayan asing dan meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat atau aktiviti yang melanggar undang-undang kepada pihak berkuasa. – airtimes.my