TUMPAT, 9 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 16,377 saman secara terus membabitkan pelbagai kesalahan di seluruh negara sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2022 yang berakhir malam tadi.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, saman ini dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 89,490 kenderaan yang bermula 29 April lalu.
Beliau berkata, sebanyak 97 kes saman pula telah dikeluarkan bagi kesalahan kenderaan berat, ingkar perintah larangan (97 kes), manakala sejumlah 245 aduan diterima menerusi e-aduan@JPJ daripada pengguna jalan raya yang memiliki kamera papan pemuka pada kenderaan.
“Daripada jumlah saman berkenaan, 776 saman telah dikeluarkan membabitkan 5 kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat (272) diikuti memotong barisan (206),
“Selain itu, hingga semalam sebanyak 58,182 saman dikeluarkan melalui sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS),
“Kesemua kesalahan ini akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun,” katanya malam tadi.
Zailani berkata, kesalahan ini dikesan menerusi 45 kamera AWAS membabitkan 29 kamera bagi tujuan memantau kesalahan melebihi had laju dan 16 kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat.
Jelasnya, JPJ telah melakukan penguatkuasaan secara berstrategik dengan rondaan serta pemeriksaan rawak di jalan utama dan lebuh raya persekutuan, selain melakukan penyamaran sebagai penumpang bas untuk mengesan pemandu yang melakukan kesalahan. -airtimes.my