JOHOR BAHRU, 12 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah memberkas 2 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negara secara tidak sah di perairan Tenggara, Johor awal pagi semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, KD Sundang yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut telah mengaturgerak bot-bot pemintas iaitu Fast Combat Boat (FCB) 101, Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Lepau dan RHIB Santi untuk membuat pintasan terhadap bot pancung tersebut.
“Ia susulan maklumat awal yang disalurkan oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Bukit Pengerang,
“Sejurus mengesan sebuah bot yang mencurigakan di posisi 1.5 batu nautika Tenggara Tanjung Ayam menuju ke daratan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan pantas RHIB Lepau dan RHIB Santi berjaya memintas dan menahan bot pancung tersebut.
“Setelah membuat pemeriksaan, kedua-dua PATI tersebut dipindahkan ke FCB 101 untuk dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih,
“Ia termasuk barang rampasan yang diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi.
Jelasnya, TLDM bersama agensi penguat kuasa maritim lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada bila-bila masa.
“Kerjasama dan tindakan bersepadu selain penyaluran maklumat yang pantas antara agensi terlibat jelas amat berkesan,
“Ia penting bagi memastikan setiap niat atau tindakan menceroboh sempadan negara baik di laut mahupun di daratan akan sentiasa dihalang demi mempertahankan kedaulatan negara,” tegasnya. -airtimes.my