ISLAMABAD, 18 Feb – Rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS) sudah selesai dan perjanjian dijangka ditandatangani pada akhir Februari, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan seorang pemimpin Taliban.
Pemimpin kanan Taliban merangkap anggota pasukan rundingan, Maulvi Abdul Salam Hanafi, memberitahu laman web Afghanistan, Nunn.asia pada Isnin, kedua-dua pihak sudah pun menyempurnakan rundingan damai di Doha.
“Perjanjian akan dimeterai di Doha hujung bulan ini dengan kehadiran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam, Kesatuan Eropah dan wakil dari negara jiran,” kata Hanafi.
Sebelum perjanjian dimeterai, perlu diwujudkan suasana damai terlebih dahulu, katanya.
Pada Jumaat, media Amerika melaporkan, Washington dan Taliban mencapai persetujuan untuk mengurangkan pertempuran selama tujuh hari, bermula 22 Februari.
“Selepas menandatangani perjanjian, Amerika dan Kerajaan Afghanistan akan membebaskan 5,000 banduan Taliban manakala kami akan membebaskan 1,000 tahanan,” jelas Hanafi.
Beliau berkata, hanya selepas itu baru dialog dalaman Afghanistan akan dilangsungkan.
Hanafi bagaimanapun, tidak memberikan maklumat lanjut berkaitan cadangan perjanjian itu serta had masa yang ditetapkan untuk tentera Amerika berundur dari Afghanistan.
Pada Ahad, Ketua Rundingan Damai Amerika, Zalmay Khalilzad turut menyifatkan rundingannya di Doha membuahkan hasil dan berkata, beliau berada di Munich untuk bertemu dengan beberapa pemegang taruh.
Khalilzad turut bertemu dengan Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani dan memberi taklimat kepadanya mengenai perkembangan terkini rundingan damai dengan Taliban.
Minggu lalu, Setiausaha Negara Amerika, Mike Pompeo berbincang dengan presiden itu dan memaklumkan beliau menerusi telefon mengenai kemajuan rundingan damai dengan Taliban.
Perjanjian damai antara Amerika dengan Taliban yang hampir ditandatangani pada September lalu, menetapkan had masa pengunduran tentera Afghanistan sebagai tukaran terhadap jaminan Taliban melindungi negara itu daripada menjadi markas kumpulan pengganas, serta mereka perlu memulakan rundingan dengan kerajaan Ghani.
Bagaimanapun, Presiden Donald Trump, membatalkan cadangan perjanjian itu pada saat akhir ekoran pembunuhan seorang tentera Amerika di Kabul.- Bernama