KUALA LUMPUR, 31 Mac – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengkaji cadangan penggunaan dron dalam pelaksanaan operasi nyahkuman, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata penggunaan dron adalah salah satu pilihan bagi mempercepatkan proses untuk membuat aktiviti penyahkuman di kawasan yang lebih besar.
“Datuk Bandar akan membuat kajian terdahulu dalam kesesuaian penggunaan dron ini,
“Dimana kawasan yang sesuai guna dron, kita segera guna dron secepat mungkin disebabkan kita kekurangan kakitangan,
“Yang penting keberkesanan, kalau kita belanja, kita kena pastikan ia berkesan dan sesuai untuk digunakan, biar pihak bandaraya tentukan dahulu,” katanya kepada pemberita semasa operasi sanitasi awam COVID-19 di Kampung Bharu hari ini.
Beliau berkata kesesuaian ini perlu dikaji kerana banyak halangan di Kuala Lumpur disebabkan banyak bangunan tinggi, wayar elektrik dan tiang-tiang lampu.
“Jika dron terbang terlalu tinggi, kita tidak pasti adakah bahan penyahkuman tersebut sampai ke sasaran dan dapat membunuh virus tersebut, kita kena kaji semua itu,
“Saya nampak kawasan yang lebih terbuka dron lebih berkesan, tapi ada juga tempat yang tinggi kita perlu pergi terutama bangunan yang bertingkat-tingkat dron boleh pergi sembur ke koridor-koridor,
“Kalau itu dapat dilakukan akan menjimatkan tenaga, tapi kalau tidak sesuai disebabkan keadaan terlalu tinggi dan angin, kita terpaksa menggunakan individu untuk pergi,” ujarnya.
Selain itu, pelaksanaan proses penyahkuman di Kuala Lumpur akan berjalan setiap hari.
“Datuk Bandar akan menentukan kawasan setiap hari, cuma ketika ini kita dahulukan kawasan-kawasan yang dianggap zon merah (bahaya) atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.