BUTTERWORTH, 22 Nov – Tiga individu, termasuk sepasang kekasih yang dipercayai pengedar dadah ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM167,895 dalam serbuan di sebuah apartmen di Taman Tanjung Indah di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Polis Noorzainy Mohd. Noor berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menyerbu rumah itu pada pukul 10.20 malam dan menahan dua lelaki serta seorang wanita berusia 23 hingga 26 tahun.
“Semasa serbuan itu, tiga individu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah tersebut berada di dalam rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis merampas syabu seberat 750.9 gram (g), ketamin (340g), pil eramin 5 (230 biji) dan 23 biji pil ekstasi.
“Semua dadah yang dirampas itu bernilai RM167,895 dan ia dipercayai untuk pasaran di sekitar Butterworth dan Mak Mandin terutama di pusat-pusat hiburan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas dan menjadikan apartmen yang disewa seorang daripada mereka itu sebagai tempat menyimpan serta membungkus semula dadah berkenaan. – Bernama