PASIR MAS, 19 Sept – Ahli Parlimen Jeli yang juga Adun Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa perlu mengosongkan kedua-dua kerusi itu ekoran tindakan beliau mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta-merta.
Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, tindakan itu wajar dilakukan kerana kedua-dua kerusi yang dimenangi Mustapa pada PRU14 lalu atas tiket BN.
“Desakan ini bukan bersifat emosional ekoran tindakan nekad yang dibuat oleh Bekas Pengerusi Umno Kelantan itu.
“Tetapi ia dibuat atas pertimbangan hak para pengundi di Parlimen Jeli dan Air Lanas yang telah memberi sokongan kepada Mustapa sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, kemenangan diperoleh Mustapa itu adalah hasil undian penyokong Umno yang setia kepada perjuangan parti sebelum ini.
Katanya, Pemuda Umno Kelantan amat terkejut dengan tindakan Tok Pa keluar Umno kerana beliau sudah 40 tahun bersama parti itu.
Noor Hariri berkata, sebagai pemimpin yang senior dan mempunyai pengalaman luas dalam arena politik, Mustapa tidak wajar berbuat demikian.
Katanya, Mustapa sepatutnya terus kekal bersama Umno bagi memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap parti itu selepas gagal membentuk kerajaan pada PRU14 lalu.
“Atas alasan apa sekalipun, tindakan Mustapa keluar Umno tanpa sebarang perbincangan adalah amat tidak masuk akal.
“Pemuda Umno Kelantan amat kesal dengan perkembangan ini dan ia tidak seharusnya berlaku ke atas pemimpin yang imejnya dilihat sangat berintegriti tinggi,” katanya.
Noor Hariri berkata, Pemuda Umno Kelantan akan mengadakan siri jelajah ke seluruh pelusuk negeri bagi menjelaskan situasi semasa politik kepada seluruh jentera akar umbi.
Katanya, ini bagi memastikan ahli dan akar umbi tidak hilang arah serta terus jelas dengan visi perjuangan Umno.