KUALA LUMPUR, 13 Julai – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata beliau mengambil keputusan itu sebagai tanda solidariti kepada bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan hanya mahu berkhidmat kepada kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat.
“Surat peletakan jawatan akan saya tandatangan dan berikan kepada Setiausaha Dewan Rakyat sebentar lagi,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Terdahulu, usul kerajaan untuk mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan dengan 111 bersetuju dan 109 membantah. – Bernama