KUALA LUMPUR, 12 APRIL – Perolehan aset meriam mudah gerak (SPH) 155mm Yavuz dari Turkiye telah dibatalkan.
Perkara terebut disahkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dalam satu jawapan bertulis Dewan Rakyat.
“Kementerian Kewangan pada 16 Januari 2023 telah memutuskan bahawa cadangan perolehan SPH secara rundingan terus dibatalkan,
“Buat masa ini, Kementerian Pertahanan bersama Agensi Pusat sedang berbincang untuk melaksanakan perolehan peralatan ini secara Government to Government (antara kerajaan),” katanya dalam Jawapan Bertulis kepada Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan.
Saifulruddin sebelum itu meminta penjelasan dari Menteri Pertahanan berhubung perolehan155mm Yavuz keluaran syarikat MKE.
Menurut beliau, kerajaan lalui telah mengeluarkan surat niat (LOI) untuk mendapatkan aset tersebut dari Turkiye.
SPH
Perolehan SPH merupakan sebahagian daripada rancangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertingkatkan ketumbukan Tentera Darat Malaysia.
Usaha perolehan sistem artileri tersebut telah lama dilakukan namun sehingga kini belum dapat direalisasikan.
Sebelum ini, Malaysia pernah ditawarkan 30 buah M109A5 oleh Amerika Syarikat melalui Excess Defence Articles (EDA). Pun begitu, perolehan ini telah dilaporkan telah dibatalkan pada sekitar 2019.
Pada Pameran DSA 2022, syarikat pengeluar Perancis, Nexter telah meterai MoU dengan Advanced Defence Systems (ADS) bagi mempromosikan CAESAR 6×6 kepada Tentera Darat Malaysia. Nexter dan ADS sudah tentu dikenali umum dengan perbekalan meriam LG1 Mk III yang kini dioperasikan oleh Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para).
Pun begitu, pembatalan kontrak rundingan terus Yavuz oleh Kementerian Kewangan sekaligus menandakan persaingan perolehan SPH untuk Tentera Darat masih lagi diteruskan.
Malah, perolehan Yavuz sudah tentu tidak terlepas daripada kontroversi seperti mana ditimbulkan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli (kini Menteri Ekonomi) pada tahun 2022.
Kontroversi
Perolehan SPH menjadi kontroversi pada tahun lalu selepas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli mendedahkan perkara tersebut pada awal Oktober tahun lalu.
“Saya telah mengkaji kontroversi perolehan ini sejak beberapa bulan dan mendapati ada bukti-bukti bahawa keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi kerajaan membelakangkan spesifikasi dan keperluan angkatan tentera,
“Kementerian Pertahanan telah membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan agar perolehan sistem meriam artileri SPH yang baru melalui proses tender terhad, seperti amalan perolehan kelengkapan pertahanan amnya,
“Memang menjadi amalan perolehan pertahanan negara bahawa pendekatan tender terhad digunakan untuk mengimbangi keperluan kerahsiaan pertahanan negara (supaya spesifikasi persenjataan tidak diketahui umum) dan mendapatkan nilai terbaik wang rakyat (agar pembida terbaik dilantik),” kata Rafizi dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi beliau.
Jelas Rafizi pada ketika itu, perolehan bernilai RM854 juta tersebut telah ditolak oleh Bahagian Perolehan Kerajaan.
“Pada 25 Julai 2022, Kementerian Pertahanan akhirnya terpaksa akur dengan arahan Menteri Kewangan,
“Satu Surat Niat (“Letter of Intent”) telah dikeluarkan yang melantik MA Analytics untuk membekalkan sistem meriam artileri SPH secara rundingan terus, walaupun ini bertentangan dengan kehendak dan permohonan Kementerian Pertahanan sebelum itu yang mahu perolehan ini dibuat secara tender terhad (seperti lazimnya),” kata Rafizi.
Belum muktamad
Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan perolehan SPH untuk Tentera Darat Malaysia masih belum dimuktamadkan.
“Proses perolehan SPH sebenarnya masih berjalan. Apa yang saya boleh nyatakan di sini SPH belum kita award (muktamadkan) lagi,” katanya dalam satu sidang media pada 5 Oktober 2022.
Jelas beliau, proses rundingan perolehan SPH antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kewangan masih lagi dilaksanakan.
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Z7JLyMPtj4E[/embedyt]
Ke manakah seterusnya?
Pembatalan perolehan SPH dari Turkiye mungkin antara perubahan yang sedang berlaku dalam pembelian aset untuk ATM.
Melihat semula jawapan oleh Menteri Pertahanan di Dewan Negara pada 4 April lalu di Dewan Negara, Malaysia sedang berada dalam fasa membina kapasiti pertahanan.
“Itu sebabnya Malaysia sekarang sedang dalam proses untuk capacity building, dengan izin, iaitu untuk kita memperkasakan aset-aset negara kita, daripada segi pertahanan,” katanya.
Pembinaan keupayaan ini boleh dilihat dengan perkembangan perolehan beberapa aset pertahanan yang telah diumumkan pada mutakhir ini.
Sebagai contoh, perolehan FA-50 daripada Korea Aerospace Industries (KAI) bagi tujuan perolehan FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia. Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan untuk memperolehi sejumlah kapal Littoral Mission Ship Batch (LMSB2) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia.
Walaupun pembinaan kapasiti sedang dilaksanakan, masih terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan oleh pihak Kementerian Pertahanan Malaysia dalam memastikan keupayaan ATM berada di tahap optimum dalam mempertahankan kedaulatan negara. – airtimes.my