KUALA TERENGGANU, 1 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam dan merampas hasil laut dianggarkan bernilai RM1.5 juta di kedudukan 116 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, pada Selasa.
Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, bot nelayan tersebut ditahan dalam operasi Op Naga Barat dan Op Kuda Laut pada jam 1.20 tengah hari selepas bertindak melarikan diri sebelum itu.
Beliau berkata, anggotanya telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati 20 nelayan termasuk tekong dan kru berusia 18 hingga 49 tahun serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Ketika ditahan nelayan tersebut cuba melarikan diri ke sempadan perairan Vietnam tetapi berjaya ditahan,
“Tekong gagal menunjukkan sebarang kebenaran atau lesen menangkap ikan di perairan Malaysia,
“Pasukan telah merampas bot dan peralatan menangkap ikan, ikan campur dianggarkan 300 kilogram, peralatan komunikasi dan navigasi serta 2,000 liter bekalan diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairulanuar menjelaskan, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.
Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen yang sah.
Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati komuniti maritim tempatan supaya melaporkan sebarang perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999. -airtimes.my