KUALA LUUMPUR, 28 Jul – Peratusan penduduk Malaysia yang telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin COVID-19 telah mengatasi beberapa negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan menerusi laman web Our World in Data yang dikendalikan oleh University of Oxford, kadar vaksinasi per kapita di Malaysia kini adalah antara yang terpantas di seluruh dunia.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, seramai 12,487,441 orang penduduk Malaysia atau bersamaan 38.2 peratus keseluruhan populasi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga semalam.
“Daripada jumlah ini, 5,905,906 orang atau 18.1 peratus populasi telah mendapat dos lengkap vaksin. Ini menjadikan jumlah vaksin COVID-19 yang telah diberikan adalah sebanyak 18,393,347 dos,
“Berdasarkan populasi dewasa pula, sebanyak 53.3 peratus telah menerima sekurang-kurang satu dos dan 25.2 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima dos lengkap.” katanya dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada hari ketiga, hari ini.
Khairy berkata, bagi petugas barisan hadapan yang termasuk dalam kumpulan penerima vaksin Fasa 1, sejumlah 695 ribu telah selesai menerima dos lengkap masing-masing.
Menurutnya, jumlah ini adalah 195 ribu lebih tinggi berbanding sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak 500 ribu orang.
Sementara itu, bagi kumpulan Fasa 2, sehingga 25 Julai, seramai 2.9 juta orang warga emas atau 92.6 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi berumur 60 tahun ke atas yang telah mendaftar sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
“Bagi golongan OKU dan komorbid pula, masing-masing sebanyak 289,238 dan 6.32 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ataupun diberikan janji temu dalam tempoh masa terdekat,” jelasnya.
Tambahnya, kadar vaksinasi harian di seluruh negara akan mencapai purata sebanyak 150 hingga 160 ribu suntikan dos sehari menjelang Jun dan jumlah ini akan terus meningkat pada suku ketiga 2021.
“Pada bulan Jun yang lalu, purata suntikan yang telah dicapai adalah sebanyak 169 ribu dos,
“Manakala bagi bulan Julai, sasaran purata yang telah ditetapkan adalah sebanyak 300 ribu suntikan dos sehari. Sehingga semalam, purata yang telah dicapai sepanjang bulan Julai adalah sebanyak 378 ribu dos 21 sehari,
“Ini bermakna, telah berlaku peningkatan sebanyak 124% apabila dibandingkan kadar purata antara bulan Jun dan purata bulan Julai sehingga hari semalam,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Khairy turut menjelaskan PICK merupakan satu ikhtiar serta usaha kerajaan keluar daripada keadaan wabak COVID-19 yang telah mengubah kehidupan semenjak hampir 2 tahun yang lalu.
“Bagi pihak Kerajaan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli masyarakat yang telah bersama-sama tampil kehadapan untuk memastikan sasaran yang ditetapkan di bawah PICK dapat mencapai kejayaan,
“Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan saya kepada petugas barisan hadapan sama ada petugas kesihatan ataupun bukan kesihatan yang telah membanting keringat tanpa mengenal penat dan lelah untuk membantu memastikan vaksin sampai ke lengan penduduk Malaysia,” katanya. -airtimes.my