KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam negara adalah terkawal.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, orang ramai diminta untuk tidak gusar dan membuat sebarang spekulasi kerana PDRM akan memastikan keselamatan negara kekal berada pada tahap selamat.
“PDRM akan meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat,
“PDRM juga sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak menggunakan apa jua medium yang boleh menimbulkan hasutan serta menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut, meminta orang ramai agar sentiasa mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan wabak COVID-19.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. – airtimes.my