JAKARTA, 2 APR – Kerajaan Indonesia telah meterai kontrak perolehan 2 buah kapal selam Scorpene.
Menurut pihak Naval Group, kesemua kapal selam tersebut akan dibina sepenuhnya di Indonesia.
“Pada 28 Mac 2024, Indonesia telah memilih Naval Group dan PT PAL untuk memperkuatkan TNI-AL dengan 2 buah kapal selam Scorpene Evolved Full Lithium-Ion battery (LiB),
“Kedua-dua kapal selam ini akan dibina di Indonesia di limbungan PT PAL,” kata Naval Group dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pembinaan di limbungan Indonesia itu akan dilaksanakan melalui pemindahan teknologi oleh Naval Group.
Dalam kenyataan yang sama, syarikat pertahanan Perancis itu menyatakan kerjasama dengan PT PAL bukan sekadar pada pembinaan kapal selam.
“Kerjasama ini turut meliputi pembinaan dan pembangunan kedaulatan Indonesia serta industri pertahanannya,” jelas Naval Group.
Scorpene Evolved yang bakal diperolehi Indonesia ini akan dilengkapi dengan sistem tenaga lithium ion. Penggunaan bateri ini akan membolehkan kapal selam untuk beroperasi dengan lebih senyap dan mempunyai masa yang kurang untuk mengecas.
“Penggunaan bateri ini akan meningkatkan mobiliti taktikal kapal selam,” kata Naval Group. – airtimes.my
#AirTimes #Indonesia #Scorpene #TeknologiPertahanan