DSA 2018 auranya masih kuat, tarikan sehingga ada masyarakat awam yang berminat hendak masuk, walaupun mereka bukan terlibat secara langsung dalam keselamatan dan pertahanan – Encik Hilmi bin Ismail
NATSEC Asia 2018
KUALA LUMPUR, 18 Apr – Satu majlis menandatangani kontrak, MoU (Memorandum Persefahaman), LoA (Surat Setuju Terima) dan Surat Niat (LoI) diadakan di Dewan Myspace 2, MITEC.
Majlis ini diadakan bersempena pameran DSA dan NATSEC Asia 2018 yang diadakan semenjak 19 April lalu.
Sebanyak 8 dokumen kontrak, 3 MoU, 6 Offset, 10 LoA dan 3 LoI berjumlah sebanyak RM 18.4 bilion telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia pada hari ke-3 pameran itu. Peruntukan yang besar yang disediakan oleh kerajaan Malaysia adalah isyarat bahawa kerajaan Malaysia komited dalam memastikan keselamatan dan kesiagaan pasukan keselamatan negara.
Selain daripada itu, ia turut melambangkan komitmen kerajaan Malaysia yang tidak akan berkompromi dalam isu menyentuh hal keselamatan dan kedaulatan negara.
Sebahagian besar nilai kontrak disumbangkan oleh 6 program secara offset dengan nilai sebanyak RM 14.4 bilion. Program offset merupakan pendekatan alternatif terbaik bagi membina kapasiti pertahanan negara. Melalui kaedah ini, Kementerian Pertahanan mampu untuk mendapatkan teknologi terkini dari beberapa buah negara ekonomi pertahanan terkemuka.
Disamping itu, pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada industri tempatan dapat dilakukan dan ini sekaligus mengurangkan kebergantungan negara ini kepada negera pengeluar asal (Original Equipment Manufacturer – OEM).
Dua MoU dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) adalah bertujuan untuk melahirkan pegawai tentera yang kompeten dan membuka peluang kepada peningkatan kerjaya. MoU ini akan memberikan faedah kepada 165 pegawai di UPNM dan seramai 45 pegawai kanan di Univesiti Kebangsaan Malaysia.
Majlis bersama bagi menandatangani Kontrak/MoU hari ini adalah kesinambungan muafakat yang sekian lama terjalin di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri, selari dengan kejayaan perlaksanaan Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS).
Kuala Lumpur, 15 Apr – Pameran Defence Services Asia (DSA) 2018 dan National Security (NATSEC) Asia 2018 telah dirasmikan oleh Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bertempat di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur, hari ini.
Tahun ini merupakan tahun ke-30 semenjak DSA pertama kali dilancarkan pada tahun 1988. DSA 2018 diserikan lagi dengan pameran NATSEC Asia 2018 yang berlangsung serentak pada 16 – 19 April 2018.
Sehubungan dengan itu, pameran NATSEC Asia adalah lembaran baharu dalam kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan Malaysia,” kata Zahid dalam ucapan perasmian.
“Penganjuran DSA dan NATSEC Asia adalah selari dengan Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS), dan kerjasama antara polis dan tentera semakin erat, ujarnya.
“Ancaman pengganas pada hari ini telah mempengaruhi polisi keselamatan dan pertahanan semasa,” tegas Timbalan Perdana Menteri.
“Fahaman ekstremisme dan taktik yang digunakan oleh pengganas pada hari ini berubah-ubah, dan sekaligus mengubah landskap pertahanan dan keselamatan negara,” tambah Zahid Hamidi.
Dalam perkembangan ancaman semasa, ancaman pengganas masa kini adalah berbentuk hibrid (gabungan) di mana ia telah menuntut pasukan polis dan tentera untuk berganding bahu dalam mengekang ancaman tersebut.
“DSA memainkan peranan dalam memupuk kerjasama antara agensi, dan negara untuk membanteras ancaman tersebut,” jelas Zahid Hamidi.
KUALA LUMPUR, 15 Apr – Pameran DSA 2018 telah mencatat rekod penyertaan oleh syarikat pempamer dari 60 buah negara.
Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapannya bersempena dengan Majlis Pelancaran Pameran Defence Service Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.
“Pameran tahun ini lebih besar berbanding sebelumnya, dengan mempunyai keluasan sebanyak 43 ribu meter persegi”,kata beliau.
Sebagai salah satu daripada lima pameran termuka pada peringkat global, DSA tetap memainkan peranan sebagai platform untuk memupuk dan membentuk kerjasama antara pihak; bukan pada peringkat perniagaan sahaja tetapi turut melibatkan antara negara.
Bukan sekadar pameran, DSA turut membuka peluang untuk para industri, wakil kerajaan dan ketua serta wakil pasukan keselamatan untuk bertukar-tukar pendapat dan pengetahuan.
“DSA 2018 akan meneruskan tradisi untuk memberi kesedaran kepada semua pihak akan ancaman terkini semasa. Ini termasuklah ancaman pengganas dan keselamatan siber,” kata Hishammuddin.
Tambah beliau, perkembangan semasa semenjak awal abad ke-21 cukup memberikan pengajaran bahawa ancaman hadir dalam pelbagai bentuk.
Beliau turut menyatakan, pengenalan pameran NATSEC Asia dalam DSA adalah simbolik kerjasama antara pasukan pertahanan dan pasukan polis serta agensi berkaitan untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Kombinasi NATSEC Asia 2018 dan DSA 2018 telah menjadikan DSA sebagai satu pameran yang unik dan satu-satunya pameran pertahanan yang digabungkan dengan pameran keselamatan di rantau ini,” ujarnya lagi.
Pameran DSA 2018 dan NATSEC Asia 2018 berlangsung pada 16 sehingga 19 April 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur.