ALOR SETAR, 18 Ogos – Dua pesara tentera, Nasir Abbas dan A. Krishnan memulakan Larian Merdeka sejauh 550 kilometer (km) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61 di hadapan Masjid Zahir di sini sebentar tadi.
Nasir, 62, dan Krishnan,60, akan mengambil masa selama 12 hari untuk menamatkan larian tersebut di Putrajaya.
Menurut Nasir atau lebih dikenali sebagai Pak Nasir, mereka akan singgah di Taiping, Perak untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga pada 22 Ogos ini.
“Kami akan cuba berlari seawal pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan akan bersambung semula pada pukul 3.30 petang sehingga sampai ke destinasi yang dirancang.
“Pada setiap hari, kami akan berlari sejauh 40 km sambil memegang Jalur Gemilang dengan harapan orang ramai dapat melihat kesungguhan kami menyambut Hari Merdeka,” katanya ketika ditemui sebelum memulakan larian tersebut pagi ini.
Selain itu, Nasir berkata, beliau menjangkakan larian itu agak mencabar kerana bakal berdepan dengan cuaca panas serta jerebu yang melanda negara ketika ini.
“Apa yang dilakukan oleh kami ini hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan pejuang negara terdahulu.
“Saya percaya penat pejuang negara untuk mendapatkan kemerdekaan lebih perit daripada apa yang saya rasa.” katanya.