KUALA LUMPUR, 23 Sept – Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) mengesahkan hasil pemeriksaan terkini terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak oleh pakar perubatan mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.
HRC dalam satu kenyataan memaklumkan, Najib juga telah diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.
Susulan itu, pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan Najib dihantar semula ke Penjara Kajang.
“Pakar perunding yang berkaitan telah mengadakan sidang keluarga bersama Najib dan ahli keluarga terdekat, di mana mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan bekas Perdana Menteri itu,” katanya.
Katanya, Najib telah menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaannya di HRC.
Menurutnya, HRC akan terus komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan bagi memastikan pesakit yang dirawat di sini dapat mencapai tahap potensi yang optimum serta membolehkan seseorang individu mencapai tahap kefungsian yang maksimum. – airtimes.my