KUALA LUMPUR, 26 Okt – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp kononnya ramai warga Bangladesh diberikan kad pengenalan (MyKad) menjelang pilihan raya.
JPN dalam satu kenyataan menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar sebaliknya MyKad hanya dikeluarkan kepada individu warganegara Malaysia yang layak sahaja berdasarkan peruntukan perundangan.
“JPN juga ingin menjelaskan bahawa paparan MyKad yang ditularkan dan didakwa milik warga Bangladesh itu adalah tidak benar. Sebaliknya beliau adalah seorang warganegara Malaysia yang sah,
“Beliau telah diambil sebagai anak angkat secara sah dari sudut undang-undang dan dibesarkan oleh satu keluarga cina sejak dari lahir lagi,
“Malah isu ini telah dilaporkan oleh pihak media yang menjelaskan bahawa individu tersebut adalah warganegara Malaysia,” katanya pada Selasa.
Menurut JPN, satu laporan polis telah dibuat pihaknya pada 23 Oktober lalu berikutan penularan dakwaan palsu tersebut.
“Tindakan ini bukan sahaja boleh menjatuhkan imej dan menjejaskan kredibiliti JPN, malah ianya boleh mencetuskan kebimbangan awam,
“Laporan tersebut dibuat supaya pihak polis boleh menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan dakwaan palsu berkenaan,” ujarnya.
Pada masa sama, JPN turut mengingatkan orang ramai, supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi.
“Tindakan undang-undang boleh diambil kepada mana-mana individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu,
“Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077 atau e-mel [email protected].” jelasnya. – airtimes.my