KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang telah menolak permohonan mereka untuk didaftarkan sebagai parti politik dalam masa terdekat.
Naib Presiden MUDA, Lim Wei Jiet dalam kenyataan berkata, partinya amat kesal dengan keputusan tersebut dan tindakan Menteri Dalam Negeri itu menunjukkan bahawa pihak berkuasa hanya ingin melengahkan pendaftaran partinya selama yang mungkin.
Beliau berkata, semakan kehakiman MUDA terhadap Hamzah dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sepatutnya berlangusng pada tengahari tadi.
Namun, beberapa minit sebelum pendengaran bermula, peguam persekutuan telah memaklumkan Menteri Dalam Negeri telahpun membuat keputusan berkenaan rayuan pendaftaran MUDA.
“Penaja tidak dimaklumkan mengenai perkembangan ini dan atas dasar itu, pendengaran telah ditunda ke 18 Ogos 2021 jam 2.30 petang,
“Barisan penaja MUDA baru sahaja dimaklumkan melalui kiriman email dari ROS bahawa Menteri Dalam Negeri telah menolak rayuan MUDA untuk didaftarkan dan tiada sebarang alasan diberikan,
“MUDA amat kesal dengan keputusan Menteri Dalam Negeri. Pada setiap masa, MUDA telah memberi kerjsama penuh kepada Menteri Dalam Negeri dan ROS. Segala isu berkenaan perlembagaan ataupun dokumentasi pendaftaran telahpun dibincang ROS dan segala pindaan yang harus dibuat telahpun dilaksanakan,” jelasnya.
Menurutnya, MUDA juga amat kesal dengan kelewatan yang tidak munasabah untuk mencapai keputusan ini.
“MUDA telahpun menfailkan pendaftaran hampir 1 tahun lepas pada 17 September 2020. Rayuan kepada Menteri pula telah dibuat 6 bulan lepas iaitu pada 4 februari 2021,
“Namun, keputusan untuk menolak rayuan MUDA hanya dimaklum pada hari pendengaran beberapa minit sebelum perbicaraan mahkamah bermula,
“Timing keputusan Menteri Dalam Negeri menunjukkan bahawa pihak berkuasa hanya ingin melengahkan pendaftaran MUDA untuk seberapa lama yang mungkin,
“MUDA akan mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri di mahkamah dalam masa terdekat dan berharap akan mendapat keadilan yang sewajarnya,” tambahnya.
Lim menegaskan, taktik kerajaan (minoriti) Perikatan Nasional (PN) ini tidak akan melemahkan semangat mereka untuk terus menjadi semak dan imbang kepada kegagalan serta kedangkalan kepemimpinan yang ada pada hari ini. -airtimes.my