KUANTAN, 19 Sept – Sebanyak 500 pemimpin belia, politik dan badan bukan kerajaan dijangka menyertai Wacana Diraja di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan, Lipis, 9 Oktober ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, wacana bertajuk ‘Raja Perlembagaan dan Patriotisme’ diadakan dengan kerjasama Jemaah Pangkuan Diraja Pahang, mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri, berikutan kejayaan penganjuran sebelum ini.
“Kali pertama program ini diadakan di peringkat negeri pada bulan Februari lalu melibatkan penyertaan 630 peserta dan kali ini kita mahu program yang sama sampaikan ke akar umbi dengan mengadakan penganjuran di peringkat zon pula,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata peserta program akan melibatkan pelbagai kaum bagi membolehkan mereka didedahkan tentang Institusi Diraja negeri Pahang, perlembagaan, dan menyerapkan rasa cinta kepada negeri.
Katanya, melalui penganjuran ini peserta dapat menghayati perlembagaan yang menjadi payung semangat cintakan negara untuk diserap ke peringkat pertubuhan masing-masing yang dilihat semakin longgar terutama dalam kalangan anak-anak muda.