WASHINGTON, 28 Sept – Pesawat pengebom tentera Amerika Syarikat (AS), B-52, melakukan operasi transit di Laut China Selatan dan Laut China Timur, lapor Pentagon semalam ketika hubungan kedua-dua negara semakin memuncak susulan isu tarif perdagangan.
Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Dave Eastburn berkata, pesawat pengebom itu melakukan rutin biasa dan terlibat dalam operasi di Laut China Timur.
Menurut sumber pertahanan AS, pesawat yang mempunyai keupayaan senjata nuklear itu diiringi jet pejuang tentera Jepun dan dilihat sebagai satu daripada usaha Pentagon untuk meneruskan ‘kewujudannya’ di rantau berkenaan.
Pada awal minggu ini, pesawat B-52 terbang melalui ru-ang udara antarabangsa menuju Laut China Selatan.
China sebelum ini menuntut sebahagian besar kawasan Laut China Selatan, selain membangunkan beberapa kemudahan maritim yang bertujuan mengukuhkan barisan ketenteraan mereka.
Namun, AS menolak tuntutan Beijing dan menegaskan bahawa pasukan tentera negara ini akan terus memantau di kawasan tersebut berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis memaklumkan bahawa operasi transit tersebut tidak akan memburukkan lagi hubu-ngan Washington dengan Beijing memandangkan tentera negara ini akan menggunakan laluan berkenaan untuk ke pangkalan tentera Diego Garcia di Lautan Hindi.
Dalam pada itu, China mengutuk tindakan AS yang menerbangkan pesawat pengebomnya di kawasan tersebut dan menggesa negara ini mengukuhkan hubungan ketenteraan bersama Beijing.
Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Ren Guoqiang berkata China menolak sekeras-kerasnya tindakan provokatif AS di kedua-dua kawasan laut tersebut.
Sementara itu, helikopter pengangkut terbesar tentera Jepun, Kaga menyertai latihan ketenteraan bersama kapal perang Britain, HMS Argyll di Lautan Hindi hari ini.
Komander Pasukan Pertahanan Maritim (MSDF), Kenji Sakaguchi memberitahu bahawa latihan tersebut merupakan satu peluang untuk kedua-dua negara saling mengukuhkan sistem pertahanan mereka.
Jepun dan Britain merupakan antara sekutu AS yang melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan aktiviti ketenteraan China di Laut China Selatan dan Timur.
Latihan tersebut menyaksikan Argyll, Kaga dan beberapa kapal pemusnah Inazuma melakukan formasi di lautan, selain tiga helikopter tentera Jepun turut digunakan bagi memantau latihan tersebut.– AGENSI