KUALA LUMPUR, 16 Apr – Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza dibebaskan selepas 2 hari ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung hantaran karikatur satira monyet berpakaian seragam istana yang dimuat naiknya di laman Twitter pada Khamis.
Fahmi memaklumkan perkara itu sendiri menerusi hantaran di Twitternya pada Sabtu.
Dalam hantaran itu, Fahmi Reza atau nama sebenarnya Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin, 45, dengan nada sinis turut memberi 4 bintang terhadap layanan yang diterima semasa ditahan.
“Aku dah ‘check-out’ dari Hotel Dang Wangi! Pakej penginapan dua hari satu malam ‘courtesy of Mojo Jojo! Great location, perfect vibes, and amazing hospitality!,
“Makan sedap siap dapat percuma sahur dan iftar yang dihantar ke bilik aku. ‘Would love to return in the future!’ aku bagi 4 bintang,” ciapnya.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Fahmi Reza ditahan pada Jumaat berhubung hantaran karikatur monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning yang dimuat naik di laman sosialnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Beliau menjelaskan, siasatan masih diteruskan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh institusi Diraja serta sensitiviti agama dan kaum,
“Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” ujarnya
Tambahnya, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam. -airtimes.my