KLANG, 29 Jul – Calon Pilihan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin 3,000 penyokong PAS akan mengundinya pada 4 Ogos ini.
Zawawi berkata, sokongan itu dilihat berdasarkan pertemuan dengan penyokong parti Islam itu ketika berkempen di Sungai Kandis.
“Ahli ada pilihan untuk memilih calon yang dirasakan wajar dan layak mewakili mereka, jadi saya yakin hasil pertemuan pagi, petang malam saya di masjid, surau dan pasar, saya mengenali sebahagian pengundi PAS kali ini beri undi wakil Pakatan Harapan.
“Di DUN Sungai Kandis ada 7,000 pengundi PAS pada PRU lalu dan kita sasar 50 peratus atau 3,000 akan mengundi saya kali ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan PKR, di DUN Sungai Kandis, hari ini.
Zawawi berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan pimpinan PAS agar anggota parti itu mengundi calon Umno pada PRK Sungai Kandis.
Malam tadi dua pemimpin pusat parti itu mengarahkan anggota PAS supaya memenangkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam yang bertanding dalam usaha pembangkang merampas kerusi berkenaan.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata anggota dan penyokong parti itu perlu mengundi Lokman jika mahu melihat HARAPAN dikalahkan.
Katanya, PAS berpendirian tidak boleh menerima cara pemerintahan kerajaan sekarang.
Semalam bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengingatkan partinya agar lebih kuat berdiri atas nama sendiri daripada mengharapkan sokongan PAS untuk terus diterima masyarakat.
Beliau berkata, walaupun wujud kemungkinan gabungan kerjasama dengan parti Islam itu pada PRK Sungai Kandis, namun ia bukan bersifat jangka panjang.
Ketika diminta mengulas perkara itu, Zawawi berkata kenyataan Khairy itu menunjukkan kedua-dua parti itu tidak sepakat dalam menghadapi kejutan selepas tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Saya melihat pihak sana tak sepakat apabila menghadapi kejutan besar tewas pada PRU lalu masing-masing hilang pedoman dan ada ketimur, kebarat, keaatas, dibawah,ada yang koma.
“Jadi kesempatan ini kita lihat mereka dalam keadaan terumbang ambing, kita yakin kita berada di landasan yang betul memperjuangkan nasib rakyat dan kita yakin akan membangunkan komuniti setempat,” katanya.