KUALA LUMPUR, 5 Dis – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman memberitahu Dewan Negara hari ini tidak wujud ‘jalan pintas’ dalam mendapatkan lesen untuk memiliki senjata api di negara ini.
Memetik laporan Bernama, Mohd Azis berkata, ini termasuk rakan kongsi syarikat senjata api yang perlu membuat permohonan seperti orang lain.
Permohonan ini pula akan melalui beberapa peringkat termasuk yang terakhir iaitu rayuan di peringkat kementerian sekiranya permohonan mereka ditolak, katanya menjawab soalan tambahan Senator, Alan Ling Sie Kong, di sini.
Sie Kong ingin tahu jika kementerian berkenaan sedar ada individu menggunakan jalan pintas untuk memiliki lesen senjata api dengan menjadi rakan kongsi syarikat senjata api.
Menurutnya, daripada 169 penjual senjata api, hanya 15 diberikan lesen setakat ini.
Manakala soalan Senator Datuk Hanafi Mamat yang ingin tahu perkembangan siasatan kes tiga laras AK47 yang dijumpai di Kelantan baru-baru ini, Mohd Azis berkata, kementerian sedang memastikan kawalan keselamatan khususnya di sempadan diperketat bagi memastikan tiada senjata dari luar diseludup ke negara ini.
Pada 30 November lepas, media melaporkan tiga laras senapang jenis AK47 ditemui tertanam dalam semak di Kampung Gemang, Jeli.
Menurut laporan tersebut, sepasukan anggota daripada 2 Rejimen Renjer Diraja menemui senjata berkenaan bersama tiga kelopak peluru pada kira-kira 4.20 petang.