BUTTERWORTH, 18 Nov – Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mengendalikan pesawat pejuang Hawk 108 sempat keluar dari pesawat berkenaan menggunakan kerusi anjal, ketika cuba menyelamatkan diri dalam nahas berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.39 pagi semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pesawat BAE Hawk TUDM yang dikendalikan dua juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Pangkalan Udara Butterworth untuk melaksanakan latihan ‘night flying’ (penerbangan malam).
“Ia dilaksanakan di ruang udara pengkalan udara tersebut dan sesi latihan itu dikatakan berlangsung selama satu jam,
“Pada pukul 10.07 malam, pesawat tersebut dilaporkan terhempas di atas lapangan terbang Pangkalan Udara Butterworth dan menyebabkan letupan,
“Kedua-dua juruterbang tersebut sempat keluar daripada pesawat menggunakan kerusi anjal. Seorang juruterbang telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Shuhaily menjelaskan, pihaknya mengklasifikasikan kematian juruterbang TUDM tersebut sebagai kes mati mengejut dan siasatan terperinci berhubung nahas pesawat Hawk 108 itu masih dijalankan.
“Berdasarkan maklumat oleh pakar perubatan forensik, punca kematian juruterbang berkenaan adalah disebabkan pelbagai kecederaan yang konsisten dengan nahas udara,
“Siasatan terperinci masih dijalankan manakala keterangan daripada seorang lagi juruterbang yang terselamat, belum diperoleh kerana beliau sedang menerima rawatan di HSJ,” tambahnya.
Dalam kejadian jam 10.07 malam kelmarin, pesawat Hawk milik TUDM dilaporkan terhempas ketika dua juruterbangnya mengadakan sesi latihan penerbangan.
Insiden menyebabkan Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, maut manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar, 33, cedera dan dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di HSJ.
Jenazah Mohamad Affendi selamat dikebumikan dengan istiadat ketenteran di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Pahang, malam tadi. -airtimes.my