[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=WyivDYYEoPM[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 21 Feb – Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) telah menerima 10 buah motosikal jenis Honda ST 1,300cc bagi meningkatkan keupayaan mobiliti anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam melaksanakan tugas harian di pasukan.
Majlis telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dengan penyerahan replika kunci sebagai simbolik rasmi motosikal penguatkuasaan KPTD kepada Pengerusi KPTD, Brigedier Jeneral Datuk Mislan Anuar, di Wisma Perwira Tentera Darat, hari ini.
“10 buah motosikal ini merupakan perolehan Rolling Plan TD bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) bagi meningkatkan mobiliti TDM amnya, dan KPTD khasnya,
“Perolehan ini seiring dengan Tonggak Pertama Panglima Tentera Darat ke-28 iaitu kelangsungan misi dan kesiagaan dengan memberi penekanan meningkatkan keupayaan mobiliti,” jelas KPTD.
Terdahulu, Zamrose telah menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Hari Tentera Darat ke-89 yang turut menjelaskan pencapaian TDM pada tahun 2021 termasuklah kejayaan memperoleh aset-aset penting bagi meningkatkan keupayaan TDM.
“Aset-aset ini telah meningkatkan keberkesanan operasi yang dijalankan termasuklah Operasi Benteng (Op Benteng) dan bantuan kepada pihak kerajaan semasa operasi bukan ketenteraan,
“Antara aset-aset yang berjaya diperolehi termasuklah, 6 buah mini Unmanned Aeral Vehicle (UAV); 378 buah motosikal Scrambler 250cc; 27 buah All Terrain Vehicle (ATV) 250cc; 40 kereta peronda jenis Honda Civic bagi kegunaan KPTD secara sewaan dan 10 buah motosikal ST 1300 Honda,” jelas Zamrose.
Selain itu, majlis tersebut turut menyaksikan lintas langsung dari 12 lokasi di seluruh negara bagi merealisasikan pelaksanaan Tonggak Ke-3 Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.
Pada majlis itu juga, Zamrose turut melancarkan Instrumen Al-Quran Tentera Darat iaitu MyQuranTD dan Buku Fiqh Askari yang dibangunkan sepenuhnya oleh Sel Agama Markas Tentera Darat.
“Instrumen Al-Quran ini merupakan kebolehan mengukur skala bacaan Al-Quran warga Tentera Darat,
“Ia juga telah mendapat pengiktirafan daripada pakar Al-Quran, di antaranya Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Johan Qari Antarabangsa dan lain-lain,
“Manakala, Buku Fiqh Askari pula dapat memberi panduan kepada warga TDM mengerjakan ibadah semasa dalam latihan dan operasi dan ia merupakan pertama di dunia yang menjelaskan tatacara mengikut kesesuaian dalam apa jua situasi di medan,” jelas TDM. -airtimes.my
Gambar galeri: