KUALA LUMPUR, 31 Mac – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak menyempurnakan Majlis Makan Malam Rejimental Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM semalam.
Majlis yang dihoskan bersama oleh ATM dan PDRM menjadi bukti kerjasama, sokongan dan penghargaan kedua-dua pasukan keselamatan negara sebagai organisasi yang menjaga pertahanan dan keselamatan negara kepada kerajaan.
Kehadiran Perdana Menteri ini amat bererti kepada warga ATM dan PDRM khususnya kerana komitmen dan keprihatinan beliau terhadap kedua-dua pasukan keselamatan negara ini.
Seramai 460 orang anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menghadiri majlis ini. Para tetamu yang hadir juga berpeluang melihat pameran National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang disediakan diruang legar Dewan Perkasa menggabungkan kerjasama Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, ATM dan PDRM.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Mohd Johari Baharum; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi ; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Seri Alwi Hj lbrahim, Panglima-Panglima Perkhidmatan serta para pegawai kanan ATM dan PDRM.