SEMPORNA, 11 Okt – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan seludup 230 paket barang kosmetik di perairan Pulau Gaya, pada Sabtu.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, sebuah bot turut ditahan oleh anggota Tim Quick Reaction Force (QRF) pada jam 6.11 petang.
“Penahanan bot tersebut dibuat semasa anggota QRF dalam pergerakan dengan bot Viper 02 ke Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) ketika membuat pemantauan dan telah melihat bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan dari arah luar perairan Malaysia menuju ke kawasan barat Pulau Gaya,
“Dengan pantas QRF telah melakukan pintasan terhadap bot tersebut. Menyedari kehadiran pasukan keselamatan, juragan bot telah bertindak dengan terjun ke dalam laut dan berenang ke kawasan cetek seterusnya melarikan diri ke Pulau Gaya,” katanya.
Seterusnya, anggota QRF telah melaporkan penahanan tersebut kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) di MK ATB 2.
“POWB seterusnya mengarahkan anggota QRF membuat pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan tersebut mendapati terdapat 230 paket barang kosmetik jenama Brilliant Skin disembunyikan dalam bot berkenaan dan satu tong gas berkapasiti 30 kilogram (kg),
“Tindakan seterusnya, pasukan QRF bersama Viper 02 telah menunda bot tersebut ke Jeti Azumi dan satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada jam 11.16 malam,
“Kesemua barang-barang rampasan termasuk bot dan enjin Yamaha Enduro 75HP diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – airtimes.my