MIRI, 19 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak berjaya menahan sebuah bot nelayan jenis pukat tunda kelas C yang melanggar syarat sah lesen di Anchorage Area Lutong, semalam.
Komander PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali berkata, hasil pemeriksaan oleh pasukan ronda polis mendapati bot berkenaan telah melanggar syarat sah lesen dan menangkap ikan secara haram.
“Hasil soal siasat mendapati juragan bot tersebut merupakan seorang warga Indonesia dan mengaku menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan mata pukat saiz kecil serta tidak mengikut syarat yang ditetapkan,
“Juragan dan 4 awak-awak berusia lingkungan antara 25 hingga 49 tahan merupakan warga Indonesia turut ditahan,” jelas beliau.
Menurutnya, peralatan kelengkapan menangkap ikan serta hasil laut dirampas dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Bahagian Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
“Kesemua jumlah rampasan melibatkan kelengkapan serta hasil laut dianggarkan berjumlah RM197,600,” ujarnya. -airtimes.my