TANAH MERAH, 19 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kelantan bersama Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor berjaya menyelamatkan 5.4 metrik tan minyak masak yang ingin diseludup ke negara jiran, semalam.
Unit Media KPDNHEP Negeri dalam satu kenyataan berkata, hasil risikan hampir 2 minggu di sempadan negara berjaya mengesan premis yang dijadikan tempat transit sementara barangan-barangan kawalan seterusnya dibawa seludup ke negara jiran melalui pengkalan haram.
“Pasukan operasi menjejaki sebuah lori sejak jam 4.00 petang bermula dari Gua Musang, Kelantan menuju ke sekitar sempadan negara berhampiran Kampung Ayer Batu, Panglima Bayu, Tanah Merah, Kelantan,
“Serbuan lebih kurang jam 6.00 petang telah berjaya menahan 2 buah lori 3 tan, bersama pemandunya dilokasi tersebut,” katanya.
Manakala, pemeriksaan terhadap lori pertama jenis Isuzu menemui anggaran sebanyak 2,890 kilogram minyak masak paket bersubsidi.
“Seterusnya pemeriksaan lori kedua pula berjaya menemui anggaran sebanyak 2,550 kilogram minyak masak paket bersubsidi,
“Keseluruhan minyak masak paket 1kg bersubsidi yang disita adalah anggaran sebanyak 5,440 kilogram yang bernilai dalam anggaran RM13,600 dan 2 buah lori RM100,000,” jelasnya.
Tambahnya, siasatan awal terhadap pemandu lori tersebut yang berumur 50-an, mengakui mengambil upah membawa barang kawalan bersubsidi minyak masak ke tempat transit tersebut dibayar upah RM1.50 setiap kotak minyak masak paket 1kg bersubsidi itu.
“Modus operandi bagi penyeludupan kali ini iaitu penyeludup barang kawalan bersubsidi minyak masak membayar upah kepada pemandu lori dan mengambil barang kawalan dari pemborong serta pembekal, seterusnya mengarahkan untuk menghantar ke lokasi transit sementara dan diseludup,
“Pemandu lori tersebut ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan ini dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.
Dalam pada itu, KPDNHEP Kelantan memberikan amaran kepada mana-mana peniaga atau individu dengan niat melakukan penyeludupan barangan kawalan supaya menghentikan kegiatan tersebut.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini seterusnya dikenakan hukuman denda yang tinggi,” jelasnya. – airtimes.my