KUALA LUMPUR, 13 Mei – Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin TV 2, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dipanggil untuk memberikan penjelasan mengenai pelaporan berita berhubung penggunaan istilah merujuk kepada kumpulan Hamas sebagai militan berkaitan serangan udara Israel terhadap Palestin, semalam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau telah segera mengarahkan siasatan dan tindakan lanjut diambil oleh pihak pengurusan RTM kepada mereka yang terlibat dan menyediakan laporan lengkap.
Katanya, pegawai terlibat juga telah dikenakan Surat Tunjuk Sebab (STS) dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan oleh pihak pengurusan.
“Permohonan maaf secara terbuka dalam siaran berita untuk pembetulan telah disiarkan dalam Berita Tengahari pada pukul 1 tengahari dan Berita Mandarin pada pukul 7 malam hari yang sama iaitu 12 Mei 2021,
“Seksyen Berita Hal Ehwal Semasa telah diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) tugasan Bilik Berita, khususnya dalam penyuntingan dan penerbitan berita TV untuk memastikan kesilapan serupa tidak berulang pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Saifuddin, RTM peka tentang situasi yang berlaku dan sentiasa teguh menyokong pendirian Malaysia dan aspirasi rakyat berhubung konflik yang melanda dan mendukung kedaulatan serta kebebasan Palestin.
“RTM akan terus berusaha dalam menambah baik kualiti penyampaian berita dari semasa ke semasa,” jelasnya.- airtimes.my