ULU TIRAM, 1 Dis – Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) telah melaksanakan Kem Kemahiran Senjata (KKS) untuk meningkatkan kemahiran, kecekapan dan kompetensi anggota dalam mengendalikan serta memahami fungsi pelbagai jenis senjata di pasukan.
Latihan tersebut melibatkan seramai 10 pegawai dan 181 anggota telah diadakan di Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) pada 17 hingga 26 Nov lalu.
“Latihan menembak yang direncanakan adalah dengan senjata persendirian seperti Pistol Glock 17, M4 Carbine, Shotgun, RPG-7 dan M203,
“Senjata bantuan seksyen dan kompeni seperti Minimi, MGKA, Mortar 60 mm dan 81 mm turut menjadi sebahagian daripada modul latihan,
“Turut diberi pendedahan berkenaan dengan senjata anti kereta kebal iaitu M72, cara penggunaan ‘claymore mine’ dan membaling bom tangan,” kata Buletin 10 Briged (Para) dalam hantaran di media sosialnya.
Menurutnya, anggota 17 RAMD juga telah melaksanakan ‘live firing platoon attack’ sementara senjata General Purpose Machine Gun (GPMG) memberikan tembakan bantuan dan didedahkan dengan situasi peperangan sebenar menggunakan bangalore torpedo untuk meletupkan halangan. – airtimes.my
Gambar galeri: