[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=iqMFK0sxWuM[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Pengurusan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 hari ini adalah yang terakhir selepas 16 kali bersidang sejak kali pertama diadakan pada 14 September tahun lalu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein iaitu pengerusi mesyuarat kuartet itu berkata, mesyuarat kuartet yang ditubuhkan 9 bulan lalu adalah antara pendekatan dalam usaha kerajaan untuk membuka semula negara secara berperingkat dan selamat selepas terjejas oleh pandemik COVID-19.
Beliau berkata, matlamat utama kerajaan di sebalik usaha itu adalah bagi membolehkan rakyat kembali dapat menjalani kehidupan seharian secara hampir normal serta belajar hidup bersama virus COVID-19.
“Secara keseluruhannya, sejak Mesyuarat Menteri Kuartet diwujudkan, negara kini sudah memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik, 181 SOP yang diguna pakai sejak Mac 2020 kini hanya tinggal 1 prosedur operasi standard (SOP) asas dan 9 garis panduan,
“Semua sektor sudah dibuka, setiap perayaan dibenarkan untuk disambut, pelitup muka juga sudah tidak diwajibkan di tempat terbuka malah, daftar masuk menggunakan MySejahtera juga sudah tidak lagi menjadi kewajipan,
“Situasi ini sekali gus merumuskan bahawa usaha yang dibuat oleh Kuartet membolehkan kehidupan seharian rakyat kembali kepada situasi hampir normal sekali gus menepati matlamat awal penubuhan Kuartet,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet terakhir, pada Rabu.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari.
Hishammuddin juga berkata, dalam memastikan usaha ‘Reopening Safely’ (pembukaan semula yang selamat) dapat dijayakan, ia bukan perkara yang mudah kerana cabarannya besar sekali gus memerlukan banyak usaha dilaksanakan membabitkan pelbagai pihak seperti kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta.
Katanya, di peringkat awal, Kuartet memberi tumpuan kepada usaha pembukaan semula sektor pendidikan secara berperingkat dan selamat seterusnya membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran kembali diadakan menerusi kaedah bersemuka di sekolah.
Pada masa sama, Kuartet juga memperhalusi kaedah yang sesuai dan selamat untuk merancakkan semula sektor ekonomi serta membuka semula secara berperingkat dan selamat pelbagai lagi sektor lain termasuk pelancongan, pekerjaan, industri dan pembuatan serta sukan.
“Pembukaan sempadan negeri dan negara secara berperingkat turut menjadi antara fokus utama Kuartet. Ini juga rumit memandangkan ia membabitkan pergerakan keluar masuk negeri dan negara dalam skala yang besar,
“Namun, hasil usaha sama semua pihak termasuk rakyat sendiri, sempadan negeri dapat dibuka pada Oktober tahun lalu selepas kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus,
“Sempadan negara juga dibuka secara berperingkat terutama menerusi skim Vaccinated Travel Lane (VTL) dan pembukaan sepenuhnya sempadan negara dapat dilaksanakan pada 1 April lalu,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan kerajaan tidak bercadang melaksanakan semula sekatan besar-besaran sebaliknya berharap pelaksanaan 1 SOP dan 9 garis panduan yang diguna pakai ketika ini diamalkan sebaik mungkin.
“Rakyat harus kekal berdisiplin, jaga kebersihan diri dan terus pakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup demi keselamatan diri dan ahli keluarga,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli tetap Kuartet khususnya Menteri Kesihatan, Menteri Kewangan serta Menteri Komunikasi dan Multimedia di atas komitmen tinggi sejak hari pertama mesyuarat itu diadakan.
“Tidak dilupakan juga, Menteri yang turut dilibatkan secara berkala iaitu Menteri Kanan Kerja Raya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Pengangkutan, Menteri Sumber Manusia, Menteri Perpaduan Negara, Menteri Luar Negeri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta Menteri Belia dan Sukan,
“Terima kasih juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai peneraju dan semua 29 agensi serta pasukan beruniform yang terlibat termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana cukup komited demi memastikan setiap perancangan Kuartet dapat dimplementasikan dengan sebaik mungkin,” ujarnya. -airtimes.my