KOTA BELUD, 18 SEPT – Seramai 72 pegawai dan 974 anggota telah melaksanakan Eksesais MALBRU SETIA Siri 15/2023 dan MERTAK BERSATU Siri 13/2023 yang berlangsung selama seminggu bermula 10 hingga 17 September lalu.
Latihan bersama ini diadakan secara dwi-tahunan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dengan lokasi eksesais dibuat secara bergilir-gilir.
Eksesais Malbru Setia merupakan latihan berkonsepkan Field Traning Excersais – Fasa Ofensif (Conventional Warfare) iaitu atugerak Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) dari TDM bersama 1 Kompeni dari Batalion Ke-2 dari TDDB.
Eksesais ini juga dibantu oleh kumpulan armor, Artileri dan Elemen Jurutera.
Sementara itu, bagi Eksesais Mertak Bersatu Siri 13/23 ialah latihan berkonsepkan latihan menembak mortar di Lapang Sasar Udara 2 (LASARUD 2) yang melibatkan 1 Platun dari TDM dan 1 Platun TDDB.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Bgd), Brigedier Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof bersama Pemerintahan Medan TDDB, Leftenan Kolonel Mohammad Fakaruddin Zuraidie Ramli di Lapang Sasar Udara, Kota Belud, pada Ahad.
Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) Mejar Jeneral Malek Razak Sulaiman turut hadir menyaksikan Demonstrasi tembakan tidak langsung bagi Rancangan Tembakan Operasi Ofensif yang dilaksanakan dengan tembakan senjata Mortar 81 mm dari TDM dan TDDB.
Dalam ucapanya, Mohd Sobirin berkata, latihan bersama ini akan dapat menilai tahap kesiagaan warga TDM dari segi taktik, teknik dan prosedur (TTP).
“Ianya secara langsung akan meningkatkan tahap profesionalisma anggota. Namun, kita tidak boleh menafikan bahawa sepanjang eksesais Malbru Setia dan Mertak Bersatu ini dilaksanakan, kita telah dapat mengenalpasti beberapa kelemahan, terutamanya perkara-perkara asas yang perlu kita asah dan pertajamkan,
Sehubungan itu, beliau menyeru semua peringkat untuk mengenalpasti kelemahan-kelemahan dan merancang usaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang berlaku.
Sementara itu, Mohammad Fakaruddin berkata, eksesais ini merupakan latihan tentera dua hala secara bergilir yang diadakan bagi meningkatkan profesionalisme ketenteraan dalam operasi bersama.
“Eksesais ini adalah untuk menggalakkan penglibatan dua hala secara profesional, membina hubungan dan saling memahami bagi memperbaiki serta mengekalkan operasi termasuk prosedur dua hala,
“Ia juga dapat melaksanakan latihan di peringkat taktikal untuk memperluaskan pengetahuan timbal balik (reciprocal) terhadap taktik, teknik dan prosedur bagi membangunkan interoperabiliti (kebolehoperasian) antara TDM dan TDDB,” katanya.
Selain itu, latihan seperti ini juga mengintegrasikan pertukaran pakar untuk meningkatkan keupayaan menyokong Malbru dan Mertak Bersatu pada tahun akan datang. -airtimes.my