KUALA LUMPUR, 13 Apr – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan hari ini menegaskan program perolehan meriam mudah alih (SPH) untuk Tentera Darat tetap diteruskan.
Beliau mengulas laporan Air Times yang menyentuh pembatalan perolehan SPH Yavuz 155mm.
“Kita hanya batalkan proses perolehannya. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan tetap membeli meriam (SPH) tersebut,
“Meriam tersebut diperlukan terutamanya oleh Tentera Darat iaitu Rejimen Artileri Diraja (RAD),” katanya semasa sidang media selepas Majlis Sumbangan RM2.3 juta warga ATM sempena Hari Raya Aidilfitri, di Kementerian Pertahanan.
Beliau menjelaskan pembatalan Yavuz tidak bermakna program perolehan SPH telah dibatalkan serta merta. Menurut beliau, perolehan SPH dari Turkiye tersebut dibatalkan kerana diperolehi secara rundingan terus.
“Itu sudah pasti, proses perolehan tersebut kita batalkan kerana sebelum ini perolehan meriam tersebut melalui rundingan terus,
“Sekarang kita hendak membuat rundingan secara terbuka dan perolehan aset perlu memenuhi kemahuan dan kepentingan pihak user (pengguna),” katanya kepada pemberita.
Beliau menambah, program SPH diteruskan secara rundingan terbuka serta memenuhi keperluan dan kehendak pengguna akhir.
“Tiada gunanya kalau kita beli dan akhirnya tidak diguna pakai. Jadi, tak betul,” ujarnya.
Jelas Tok Mat, Kementerian Pertahanan sedang berbincang dengan pihak kerajaan untuk melaksanakan perolehan aset ini secara antara kerajaan (Government-to Government).
Semalam, Air Times melaporkan perolehan SPH Yavuz dari Turkiye telah dibatalkan oleh Kementerian Kewangan.
Pembatalan tersebut dinyatakan oleh pihak Kementerian Pertahanan dalam satu jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Menurut jawapan bertulis itu, perolehan sistem artileri dari Turkiye itu dibatalkan pada 16 Januari 2023 oleh Kementerian Kewangan. – airtimes.my