Sehingga kini, Malaysia masih belum memiliki Medium Range Air Defence System (MERAD) walaupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah merancang untuk memperoleh sistem MERAD dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Sebelum ini, Korea Selatan pernah mencuba untuk menarik perhatian Malaysia terhadap MERAD yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan negara itu
Cubaan ini terjadi selepas Malaysia menandatangani kontrak untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M bernilai kira-kira RM4 billion daripada Korea Selatan.
Dalam Capability Development 55 (CAP55) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ia telah menggariskan perolehan sehingga empat buah bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) bermula daripada RMK-12 (2021-25) hingga RMK-15 (2035-2040).
Perolehan MERAD itu adalah untuk mengukuhkan sistem pertahanan udara negara yang pada ketika ini hanya bergantung kepada beberapa sistem pertahanan udara jarak dekat seperti Jernas dan Starstreak.
Jadi sejauh manakah keupayaan MERAD dapat digunakan dalam membantu sistem pertahanan udara negara sekiranya TUDM benar-benar memperoleh aset pertahanan ini.
Bagi yang belum mengetahui, MERAD merupakan sistem pertahanan udara yang direka untuk mengesan, menjejak dan memusnahkan ancaman udara seperti pesawat tempur, peluru berpandu dan dron pada jarak sederhana.
MERAD kebiasaannya digunakan untuk melindungi kawasan kritikal seperti pangkalan udara, bandar-bandar dan infrastruktur penting daripada serangan udara.
Ianya merangkumi sistem radar pengesan, pelancar peluru berpandu dan sistem kawalan tembakan yang mampu memberi perlindungan udara pada jarak 20 hingga 100 kilometer.
Sistem pertahanan ini adalah komponen penting dalam strategi pertahanan udara sesebuah negara yang bertujuan untuk melindungi dari ancaman yang berada di luar jangkauan sistem pertahanan jarak dekat.
Beberapa sistem MERAD yang terkenal di dunia ialah NASAMS (Norwegian Advanced Surface to Air Missile System), KM-SAM, SAMP/T (ASTER 30), IRIS-T SLM (Suraface-Launched), Patriot, Spyder-MR dan FK-3 yang pernah ditawarkan kepada Malaysia.
Sistem-sistem ini berfungsi sebagai komponen penting dalam pertahanan udara moden, memberikan perlindungan kepada kawasan yang lebih luas dan meningkatkan keselamatan strategik negara.
Terdapat beberapa negara telah menggunakan sistem MERAD ketika situasi konflik bagi mempertahankan kawalan udara mereka daripada serangan musuh.
Sebagai contoh, negara Arab Saudi yang menggunakan sistem Patriot dan NASAMS untuk melindungi negaranya daripada serangan peluru berpandu balistik dan dron ang dilancarkan oleh kumpulan Houthi dari Yaman.
Serangan udara ke atas infrastruktur minyak dan bandar-bandar penting di Arab Saudi telah berjaya ditangkis oleh sistem pertahanan udara ini, yang berfungsi dalam gabungan pertahanan udara jarak dekat, sederhana dan jauh.
Sistem MERAD telah digunakan secara meluas oleh negara-negara seperti Ukraine dan Arab Saudi dalam konteks pertahanan daripada serangan udara.
Sistem-sistem ini terbukti berkesan dalam mempertahankan ruang udara daripada ancaman musuh serta memainkan peranan penting dalam keselamatan negara yang mengoperasikannya.
Berhubung situasi global dan serantau yang tidak menentu ketika ini, Malaysia boleh mempertimbangkan untuk memiliki sistem MERAD.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, ancaman udara telah menjadi lebih kompleks, dengan peningkatan penggunaan peluru berpandu balistik, pesawat tempur canggih, dan dron yang lebih sukar dikesan.
Sistem MERAD dapat membantu Malaysia menangkis ancaman ini dengan melindungi ruang udara pada jarak sederhana, lebih jauh daripada yang boleh dicapai oleh sistem pertahanan jarak dekat seperti Very Short-Range Air Defence (VSHORAD).
Malaysia pada masa ini bergantung kepada sistem pertahanan udara jarak dekat seperti Starstreak dan Jernas.
Walaupun sistem ini berguna untuk melindungi pada jarak dekat, ianya tidak cukup untuk menangkis ancaman udara jarak sederhana atau lebih jauh.
Oleh itu, Malaysia perlu mempertimbangkan perolehan sistem MERAD untuk meningkatkan keupayaan pertahanan udara, melindungi infrastruktur penting, dan memastikan keselamatan ruang udara negara selamat daripada ancaman udara yang semakin canggih. -airtimes.my
#Airtimes #TeknologiPertahanan #MERAD #TUDM #Malaysia