GENTING HIGHLANDS, 13 Ogos – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan memperbaharui aset miliknya dalam memastikan tugas-tugas penyelamatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata beliau bersama APM telah mengusulkan cadangan beberapa aset yang perlu diperbaharui kepada kerajaan.
“Dalam usaha meningkatkan prestasi membantu dan menguruskan bencana bersama agensi-agensi yang lain, APM akan menambah ataupun menukar kenderaan yang melibatkan pembelian kereta pacuan empat roda, dan ambulans baharu untuk digunakan oleh anggota-anggota dalam tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Perjumpaan bersama Pengarah dan Pegawai APM Pahang di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perolehan helikopter, Mohd Redzuan berkata pihaknya sedang mengkaji sama ada akan melakukan pembelian atau menyewa dengan pembekal-pembekal diiktiraf di Malaysia.
“Kita sedang berbincang dengan pembekal-pembekal yang diiktiraf di Malaysia, apakah bentuk perkhidmatan yang lebih baik dari segi nilai perkhidmatan itu sendiri,” katanya. – Bernama