KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan harga minyak di negara ini adalah rendah.
Anwar mengulas sindiran oleh Ketua Pembangkang (Larut) yang mengulangi kata-kata yang pernah diungkapkan.
“Ada yang pertikaikan soal minyak. ‘Hari ini kita menang, esok minyak turun’ itu disindir oleh Ketua Pembangkang,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), hari ini.
Dewan Rakyat menjadi riuh selepas Anwar menyentuh dan cuba menjelaskan isu harga minyak. Beliau turut memperakui kata-kata diucapkan pernah diungkapkan pada satu ketika dahulu semasa menjadi pembangkang.
“Bila saya sebutkan perkara itu semasa parti Keadilan, DAP dan PAS bersama,
“Apa yang saya sebutkan itu dipersetujui oleh Keadilan, DAP dan PAS,” jelas Perdana Menteri ketika Parlimen menjadi riuh.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berdiri dan menolak dakwaan kenyataan tersebut telah dipersetujui oleh PAS.
Namun begitu, Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu pula menyatakan sebaliknya.
“Saya setuju. Datuk Menteri, saya setuju, dia junior. Masa itu dia belum lagi pimpinan PAS,” kata Mohamad Sabu.
Perdana Menteri meneruskan perbahasan beliau yang menyatakan perkara tersebut dibangkitkan kerana pada ketika itu harga minyak di Arab Saudi lebih rendah dari Malaysia.
“Berapa harga minyak Arab Saudi? 50 sen per liter masa itu.
“Sekarang, saya jadi Perdana Menteri. Berapa harga petrol semasa 2018 yang kita bangkit,
“Di Malaysia RM2.21 dan Arab Saudi masa itu dah naik RM2.19,
“Sekarang 2023, dengar baik-baik. Berapa harga minyak di Arab Saudi? RM2.84,
“Berapa harga minyak di Malaysia? RM2.05,” katanya.
Anwar Ibrahim turut menyatakan harga minyak Malaysia masih rendah dengan menilai dari sudut kenaikan dan penurunan harga minyak.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri juga merangkap Menteri Kewangan menyatakan cadangan subsidi bersasar akan diterapkan dalam Belanjawan Madani 2024.
“Cadangan subsidi bersasar akan saya jelaskan dalam belanjawan (yang akan dibentangkan) bulan depan,” katanya. – airtimes.my